Takar kanopi
Takar kanopi (Jawi: تاکر کانوڤي ) ialah bekas yang digunakan oleh orang Mesir purba semasa proses mumia untuk menyimpan dan memelihara organ dalaman pemiliknya untuk kehidupan akhirat. Ia biasanya diukir daripada batu kapur atau diperbuat daripada tembikar.[1] Takar begini digunakan oleh orang Mesir purba dari zaman Kerajaan Lama, sehingga Zaman Akhir atau Zaman Ptolemaik, yang ketika itu organ hanya dibalut dan diletakkan bersama badan.[2] Organ-organ tidak disimpan dalam satu takar sahaja: setiap takar disediakan untuk satu organ tertentu. Istilah kanopi datang daripada salah faham ahli kaji Mesir awal dengan Kanopus (Κάνωβος) dalam legenda Yunani—kapten kepada kapal Raja Sparta, Menelaus, dalam pelayaran ke Troia—"yang dikebumikan di Kanopus di Delta di mana dia dipuja dalam bentuk takar".[3] Dalam versi lain, nama itu berasal dari lokasi Kanopus (kini Abukir) di Delta Nil barat berhampiran Iskandariah, di mana takar berkepala manusia dipuja sebagai personifikasi dewa Osiris.[4]
Takar kanopi Kerajaan Lama jarang bertulisan dan mempunyai penutup biasa. Dalam zaman Kerajaan Pertengahan, tulisan mula menjadi kebiasaan dan penutupnya sering berbentuk kepala manusia. Menjelang Dinasti Kesembilan Belas, keempat-empat penutup menggambarkan salah seorang daripada empat anak lelaki Horus, sebagai penjaga organ-organ di dalamnya.
Kegunaan dan reka bentuk
[sunting | sunting sumber]Satu set takar kanopi datang dengan empat takar, setiap satu untuk menyimpan organ manusia yang tertentu: perut, usus, paru-paru, dan hati, semuanya dipercayai akan diperlukan si mati di akhirat. Jantung tidak mempunyai takar: orang Mesir purba percaya jiwa tinggal di dalamnya oleh itu ia dibiarkan di dalam badan.[n 1]
Organ-organ ini dikeluarkan daripada badan dan disapu berhati-hati dengan natron (pengawet semula jadi yang digunakan oleh juruawet mayat) dan dimasukkan ke dalam takar.[4]
Banyak takar kanopi dari Kerajaan Lama ditemui kosong dan rosak, walaupun di dalam makam yang tidak pernah diceroboh. Maka takar kanopi ini mungkin tidak pernah digunakan sebagai bekas. Sebaliknya, ia sebahagian daripada upacara pengebumian dan diletakkan selepas upacara dengan kosong.[7]
Rupa takar kanopi berbeza mengikut zaman. Yang paling tua berasal dari Dinasti Kesebelas atau Kedua Belas, dan diperbuat daripada batu atau kayu.[8] Takar yang paling kini berasal dari Kerajaan Baru. PadaKerajaan Lama, takar mempunyai penutup biasa, lalu pada Zaman Perantaraan Pertama takar dengan kepala manusia (mungkin menggambarkan si mati) mula muncul.[1] Kadangkala penutup takar dibentukkan (atau dicat menyerupai) kepala Anubis, dewa kematian dan pengawetan mayat. Menjelang akhir Dinasti Kelapan Belas, takar kanopi menampilkan empat anak Horus.[9] Banyak set takar masih elok dari tempoh ini, daripada pualam, aragonit, batu berkapur, dan porselin bersepuh biru atau hijau.[8] Anak-anak Horus juga merupakan dewa-dewa arah mata angin.[10] Setiap dewa bertanggungjawab melindungi organ tertentu dan dilindungi oleh seorang dewi peneman. Nama mereka:
- Hapi, dewa berkepala babun mewakili Utara, mengandungi paru-paru dan dilindungi oleh dewi Nephthys. Hapi sering dikelirukan dengan dewa Nil Hapi, namun mereka sebenarnya dewa yang berbeza.
- Duamutef, dewa berkepala jakal mewakili Timur, mengandungi perut dan dilindungi oleh dewi Neith.
- Imseti, dewa berkepala manusia mewakili Selatan, mengandungi hati dan dilindungi oleh dewi Isis.
- Qebehsenuef, dewa berkepala falkon mewakili Barat, mengandungi usus dan dilindungi oleh dewi Selket.[11]
Takar kanopi awal ditempatkan di dalam peti kanopi dan dikebumikan di dalam makam bersama-sama sarkofagus si mati.[8] Kemudian, ia kadangkala disusun sebaris di bawah usungan jenazah atau di empat penjuru bilik.[8] Selepas tempoh awal, biasanya terdapat inskripsi di bahagian luar takar yang kadangkalanya berjela-jela dan sukar difahami.[12] Sarjana Sir Ernest Budge memetik inskripsi dari zaman Saïte atau Ptolemaik yang berbunyi: "Rotimu adalah untukmu. Birmu adalah untukmu. Engkau hidup dengan apa yang Ra hidup dengan." Inskripsi-inskripsi lain menceritakan tentang penyucian di akhirat.[13]
Dalam Tempoh Perantaraan Ketiga dan kemudiannya, takar kanopi mula wujud. Teknik pengawetan mayat yang lebih baik membolehkan organ-organ untuk kekal di dalam badan; takar tradisional tetap diletakkan di dalam makam tetapi tidak dijadikan bekas untuk menyimpan organ.[14]
Banyak takar pernah dibuat dan sampel-sampel yang masih elok boleh dilihat di muzium di seluruh dunia.
Pada tahun 2020, penggalian di Saqqara menunjukkan bahawa seorang wanita bernama Didibastet, yang makamnya tidak pernah dicerobohi dan berusia 2600 tahun, ditemui di belakang dinding batu, telah dikebumikan dengan enam takar kanopi, bukan empat seperti biasa. Imbasan CT mendedahkan bahawa takar-takar tersebut mengandungi tisu manusia, menunjukkan bahawa cara Didibastet dimumiakan mungkin dibuat atas satu permintaan khas.
Galeri
[sunting | sunting sumber]-
Takar kanopiTutankhamun; 1333–1323 SM; pualam; jumlah ketinggian: 85.5 cm;Muzium Mesir (Kaherah)
-
Takar kanopi milik Ruiu; 1504–1447 SM; tembikar dicat;Muzium Seni Metropolitan (Bandar Raya New York)
-
Hieroglif untuk empat anak lelaki Horus yang digunakan pada takar kanopi Mesir
Nota
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Shaw dan Nicholson, m/s 59 Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "s59" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ Spencer, m/s 115
- ^ David, m/s 152
- ^ a b Strudwick, Helen (2006). The Encyclopedia of Ancient Egypt. New York: Sterling Publishing Co., Inc. m/s. 184–185. ISBN 978-1-4351-4654-9. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama ":0" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ "British Museum catalogue entry, item number EA9565". British Museum. Dicapai pada 26 Jun 2021.
- ^ Weighing Of The Heart Scene Diarkibkan 2013-12-17 di Wayback Machine, Swansea University: W1912, accessed 18 November 2011
- ^ Lucie Jirásková: Damage and repairs of the Old Kingdom canopic jars – the case at Abusir. In: Prague Egyptological Studies. 15, 2015, ISSN 1214-3189, m/s 76–85, (dalam talian).
- ^ a b c d Budge, m/s 240. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "b240" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ Shaw dan Nicholson, m/s 60
- ^ Murray, p. 123
- ^ Gadalla, m/s 78
- ^ Budge, m/s 242
- ^ Budge, m/s 245
- ^ "Canopic Jars", Diarkibkan 2013-01-18 di Wayback Machine Digital Egypt for Universities, University College London, dicapai 18 November 2011
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]- Budge, Sir Edward Wallis (2010) [1925]. The mummy; a handbook of Egyptian funerary archaeology. New York: Cambridge University Press. ISBN 978-1-108-01825-8.
- David, A. Rosalie (1999). Handbook to Life in Ancient Egypt. Oxford: Oxford University Press. ISBN 0-8160-3312-9.
- Gadalla, Moustafa (2001). Egyptian Divinities – The All who are The One. Greensboro, N.C.: Tehuti Research Foundation. ISBN 1-931446-04-0.
- Murray, Margaret A. (2004) [1963]. The Splendor that was Egypt. Mineola, N.Y: Dover. ISBN 978-0-486-43100-0.
- Shaw, Ian; Paul Nicholson (1995). The Dictionary of Ancient Egypt. New York: Harry N. Abrams. ISBN 0-8109-9096-2.
- Spencer, A. Jeffrey, penyunting (2007). The British Museum Book of Ancient Egypt. London: British Museum Press. ISBN 978-0-7141-1975-5.
Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- Dodson, Aidan (1994). The Canopic Equipment of the Kings of Egypt. Routledge. ISBN 978-0710304605.