(Translated by https://www.hiragana.jp/)
Adilla Idris - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas Pergi ke kandungan

Adilla Idris

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Adilla Idris atau nama sebenarnya Fadzilah binti Idris[1] merupakan penyanyi popular Malaysia yang aktif dalam dunia rakaman lagu-lagu berentak keroncong. Mula menceburi bidang seni pada tahun 1992, dan pernah mengecap populariti tersendiri pada pertengahan 90an beliau kini digelar "Ratu Keronchong Malaysia" kerana arah muziknya kepada rentak nusantara tersebut.

Sejarah nyanyian Adilla tidak bermula di mana-mana rancangan atau pertandingan nyanyian. Sebaliknya, kehadiran Adilla diketengahkan oleh abangnya, Jari – komposer yang menonjol dan mempunyai nama yang besar pada era 90an. Bermula dengan mengikuti ayahnya ke majlis persembahan muzik, Adilla diajar pula oleh ayahnya tentang selok-belok ilmu nyanyian sebelum diberi kepercayaan melakukan persembahan dan mengikuti pelbagai pertandingan nyanyian di sekitar Johor Bahru. Tamat sahaja persekolahan, dia terus dibawa oleh Jari ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan dan mengetengahkan bakat nyanyiannya. Nasibnya baik, Adilla telah dilamar oleh SCS, sekali gus mengikatnya sebagai artis rakaman.

Adilla memulakan karier nyanyian sekitar 90an. Namanya dikenali ramai menerusi “Medley Popular 94” yang dikeluarkan oleh syarikat rakaman Suara Cipta Sempurna (SCS). Biarpun sekadar menyanyikan semula barisan hits popular artis lain, namun kredibilitinya sebagai penyanyi tetap diiktiraf dan mendapat perhatian dalam industri.Kegemilangan nama Adilla dilihat meningkat naik pada pertengahan era 90an. Dirinya pernah mendapat liputan yang meluas dari media setelah terpilih sebagai finalis Anugerah Juara Lagu 1994 mengantikan Kumpulan Iklim menerusi lagu "Bukan Aku Tak Cinta" (yang turut dirakamkan semula oleh Adilla dalam bentuk akustik keronchong) dan layak ke Anugerah Juara Lagu 1996 menerusi lagunya sendiri yang berjudul "Janji Seorang Kekasih". Walaupun gagal mendapatkan sebarang kemenangan namun pencalonan tersebut sedikit sebanyak berjaya meletakkan namanya setanding dengan penyanyi-penyanyi popular lain yang ada pada ketika itu.

Sungguhpun diajar dengan pelbagai jenis genre muzik, namun kesesuaian suara dan minat yang mendalam terhadap keroncong telah menyebabkan Adilla memilih dan menyanyikan lagu-lagu dari jenis muzik tersebut.[2]

Diskografi

[sunting | sunting sumber]
  • Medley Popular 94 (1994)
  • Pelangi Kasih (1996)
  • 5 Ratu Dalam Pesta Dangdut (1997)
  • Puncak Yang Satu (2002)
  • Rock Keroncong (2010)
  1. ^ "Fadzilah Idris". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-16. Dicapai pada 2013-01-13.
  2. ^ Adilla, senamrobik, rock dan keroncong, Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM[pautan mati kekal]