(Translated by https://www.hiragana.jp/)
Aku Masih Dara - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas Pergi ke kandungan

Aku Masih Dara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Aku Masih Dara
PengarahAhmad Idham
Lakon layarAhmad Idham
Dihasilkan olehDavid Teo
Dibintangi
SinematografiRaja Mukhriz
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehMIG Pictures
Tarikh tayangan
  • 16 Disember 2010 (2010-12-16) (Malaysia)
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 2.05 juta

Aku Masih Dara ialah sebuah filem drama keagamaan Malaysia 2010 arahan pengarah Ahmad Idham yang ditayangkan di pawagam Malaysia pada 16 Disember 2010. Filem yang dibintangi oleh Raja Farah, Yana Samsudin, Diana Amir, Ashraf Muslim dan Farid Kamil ini membongkar masalah remaja zaman sekarang. Filem ini merupakan remake filem Tujuh Biang Keladi (1984) yang diubahsuai mengikut peredaran zaman.

Sebuah filem yang menyentuh isu kerosakkan akhlak di kalangan remaja dan mengupas ragam kehidupan gadis-gadis zaman sekarang yang bebas dewasa tanpa bimbingan ibubapa yang terlalu sibuk mencari wang bagi menyara kehidupan. Aleesya, Sofea dan Hani merupakan tiga rakan rapat yang mempunyai latarbelakang keluarga yang berbeza. Masing-masing juga mempunyai pandangan berbeza tentang Islam, berdasarkan cara mereka dibesarkan oleh ibubapa masing-masing.

Aleesya mempunyai didikan agama yang asas – boleh mengaji dan tahu sembahyang. Namun, membesar dalam persekitaran yang serba moden dan sosial menyebabkan dia leka pada tuntutan agama. Sofea pula dibesarkan tanpa didikan agama dan dalam suasana serba kebaratan, Sofea tidak diajarkan solat dan tak tahu mengaji. Hidupnya penuh dosa dan noda sehingga dia merasa kurang tenang walaupun mempunyai segala-galanya. Hani pula membesar dalam keluarga yang susah dari segi kewangan. Hal ini menyebabkan dia kurang menerima didikan agama lantaran ibubapa yang terlalu sibuk bekerja mencari sesuap nasi untuk mereka sekeluarga. Hani senantiasa menyalahkan ibubapanya dan adakalanya menyalahkan Tuhan kerana tidak mengubah nasib mereka sekeluarga. Untuk hidup senang, dia mengambil jalan mudah, menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan dan menjerumus dalam hidup penuh noda, dunia yang mana semuanya ‘halal’.

Hani mendapat bekalan dadah daripada teman lelakinya, Zachery, yang merupakan ketua pengedar dadah di kawasan flat tempat tinggalnya. Perbezaan latar belakang tidak menghalang persahabatan mereka bertiga sehingga kemunculan Firdaus, sepupu Aleesya yang warak. Atas permintaan ayah Aleesya dan rasa tanggungjawabnya untuk mendidik saudara Islam yang terlencong, Firdaus seringkali cuba menasihati Aleesya yang lalai dan leka dengan keseronokan dunia. Firdaus yang berasal dari kampung, datang ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kursus keusahawanan, dan menumpang di rumah bapa saudaranya yang juga bapa kepada Aleesya. Firdaus sering mengikut setiap kali Aleesya dan rakan-rakannya cuba untuk pergi berseronok dan berparti di kelab malam, dan juga sering berusaha menegur tindak tanduknya, menyebabkan Aleesya berasa jengkel dan membenci Firdaus kerana terlalu ‘menjaga tepi kainnya’.

Namun, kehadiran Firdaus menarik hati Sofea yang mencari ketenangan. Sofea yang sudah puas hidup tanpa tujuan, menemui ketenangan apabila berkawan dengan Firdaus. Menerusi Firdaus, Sofea belajar tentang Islam dan mulai menyintai agama yang selama ini hanyalah sekadar status di kad pengenalannya. Hubungan Firdaus dan Sofea mulai rapat, namun menyebabkan Sofea mula renggang dari Aleesya dan Hani. Sofea yang mengajak Aleesya berubah mulai dimusuhi Aleesya yang menuduh Sofea berlakon untuk meniduri Firdaus. Apabila Sofea memutuskan untuk mengikut Firdaus ke kampungnya bagi mempelajari Islam dengan lebih mendalam, Aleesya semakin liar dan mula hilang pertimbangan sehingga mengikut Hani ke dalam dunia ‘pil khayal dan parti seks bebas’. Semasa mengikuti sebuah parti seks yang dianjurkan oleh Zachery, Aleesya telah ditiduri Zachery, menyebabkan dia panik ketika menyedari dia sudah 'hilang dara'.

Hani yang sudah lama ‘hilang dara’ cuba menenangkan Aleesya dan memberitahunya, pada zaman sekarang, status dara tidak penting. Tidak yakin dengan statusnya yang bukan lagi 'anak dara', Aleesya yang merasa hilang arah, mengambil keputusan untuk meminta bantuan Sofea. Aleesya ditemani Hani ke kampung Firdaus untuk bertemu dengan Sofea. Sementara itu, Firdaus dengan cadangan dan sokongan ibunya, menghulur lamaran untuk menikahi Sofea agar dapat mendidik Sofea dalam hubungan yang sah dan halal. Sofea pula mengakui walaupun dia hidup tanpa agama, dia masih dara kerana dia berpegang pada pegangan bahawa, ‘mahkotanya’ hanya untuk seorang lelaki yang boleh mendidiknya menjadi isteri yang baik.

Sebaik sahaja tiba di perkarangan rumah Firdaus, Aleesya terus mendapatkan Sofea dan menceritakan masalah yang menghurung dirinya. Aleesya bimbang jika dia hamil akibat dari parti seks bebas tersebut, lalu meminta bantuan Sofea untuk merelakan Firdaus menjadi 'pak sanggup' kepada kandungannya demi menutup malu dan menyelamatkan maruahnya. Termakan dengan rayuan Aleesya yang menunjuk mereka adalah 'Best Friend Forever', Sofea bersetuju membantu Aleesya dengan mengundur diri dari rancangan pernikahannya dengan Firdaus. Dengan alasan bahawa dia merasakan mereka tiada jodoh, Sofea memutuskan kembali ke Kuala Lumpur.

Hani yang ketika itu berada bersama kerana menemani Aleesya, mengambil kesempatan meminta Sofea menghantar kembali satu bungkusan 'barang' yang diambilnya daripada Zack. Di pertengahan jalan, Sofea terkejut setelah mendapati bungkusan tersebut adalah dadah lalu membuangnya. Sofea kemudian menemui dan membayar Zack nilai harga dadah tersebut sebagai gantirugi. Zack yang marah apabila mendapati Hani mencuri dadahnya, mengancam Sofea untuk membawanya bertemu dengan Hani yang masih berada di rumah Firdaus.

Sementara itu, Firdaus dengan berat hati bersetuju membantu Aleesya menyelamatkan maruahnya. Ketika ibu Firdaus mula merancang majlis perkahwinan mereka, Aleesya mendapati bahawa dirinya tidak mengandung lalu membatalkan perkahwinan tersebut. Ketika Aleesya dan Hani ingin kembali ke Kuala Lumpur, Sofea tiba bersama Zack dan memukul Hani. Firdaus yang cuba meleraikan pergaduhan itu telah ditikam oleh Zack sebelum ketibaan pihak polis.

Di akhir filem, Sofea bersatu kembali dengan Firdaus di masjid tempatnya mengikut usrah. Sebagai suara latar, Sofea menyatakan syukur atas keinsafannya dan turut menceritakan bahawa Hani mulai menyedari kekhilafannya rentetan insiden pergaduhan dengan Zack dan cuba berubah ke arah yang lebih baik, sambil filem menunjukkan Hani yang sedang berbicara dengan salah seorang pembimbing di Pusat Pemulihan Akhlak Remaja Wilayah Persekutuan. Sofea turut menceritakan kesediaannya untuk diijabkabul menjadi isteri Firdaus setelah lelaki itu selamat dari insiden pergaduhan yang sama. Di akhir latar suara, Sofea turut sama mendoakan agar Aleesya segera kembali ke pangkal jalan, sambil filem menunjukkan Aleesya masih kekal dengan sifat lama yang suka senyap-senyap mencuri keluar dari rumah untuk mencari keseronokan malam.

Yana Samsudin melakonkan watak Aleesya dalam filem ini.

Pelakon utama

[sunting | sunting sumber]

Pelakon pembantu

[sunting | sunting sumber]

Penampilan khas

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]