Dokumen pengenalan
Dokumen pengenalan merupakan sejenis dokumen yang digunakan untuk memastikan identiti pembawanya. Berbeza dengan dokumen lain, tugas dokumen pengenalan ini adalah cuma untuk menyatakan identiti pembawanya. Jika dalam bentuk kad kecil, ia dipanggil kad pengenalan (KP).
Isu kad pengenalan boleh menimbulkan kontroversi, bergantung kepada cara kerajaan menggunakannya kerana dikatakan membolehkan kerajaan mengintip rakyatnya dengan mudah. Walau bagaimanapun, kontroversi ini biasanya hanya berlaku di negara-negara Barat yang tidak mempunyai kad pengenalan wajib.
Jenis kad pengenalan
[sunting | sunting sumber]Kad pengenalan moden amat berbeza sekali dengan kad “gambar foto di atas sekeping kadbod” tradisional, dan biasanya merupakan kad pintar berteknologi tinggi yang boleh dibaca oleh komputer.
Bila kad pengenalan itu dikeluarkan oleh kerajaan, ia menegaskan satu identiti awam yang unik untuk sesorang, dengan itu menetapkan identiti seseorang itu dalam hubungannya dengan kerajaan. Teknologi baru membolehkan kad pengenalan mengandungi maklumat biometrik, seperti gambar, geometri muka dan tangan, ukuran iris ataupun cap jari.
Maklumat lain yang biasanya terkandung dalam kad tersebut — atau pangkalan data sokongannya — termasuklah nama penuh, nama ibu bapa, alamat, pekerjaan, kerakyatan, jenis darah dan faktor Rhesus.
Kesan perundangan
[sunting | sunting sumber]Undang-undang biasanya menghadkan kuasa meminta pengenalan diri (contohnya polis dan pegawai imigresen), walaupun apa yang terjadi ialah banyak pihak lain sama ada petugas kerajaan atau persendirian turut meminta pengenalan diri, contohnya jurujual mungkin meminta pengenalan diri jika seseorang pelanggan ingin membayar menggunakan kad kredit ataupun cek.
Di negara-negara di mana kad pengenalan khas tiada/tidak diwajibkan, kegagalan menunjukkan pengenalan diri kepada pihak berkuasa apabila diminta mungkin menyebabkan pelaku dibawa ke balai polis untuk pengenalan lanjut walaupun tiada kesalahan dilakukan. Ini membawa kepada kesan di mana membawa kad pengenalan diri adalah kewajipan de facto (keadaan) walaupun bukan kewajipan de jure (undang-undang). Dalam kebanyakan kes, dokumen lain seperti lesen memandu dan pasport biasanya diterima.
Sesetengah orang mungkin tidak mahu membawa dokumen pengenalan diri supaya sukar dikesan, contohnya orang biasa yang tidak mengingini gangguan. Namun kadang-kadang ia mungkin membantu dalam perlakuan haram; contohnya, di sesetengah negara, prosedur untuk pendatang asing tanpa izin mungkin berbeza mengikut umur atau kerakyatannya. Tanpa dokumen pengenalan, pendatang tersebut mungkin mempunyai lebih masa untuk menyiapkan kesnya sementara pihak berkuasa cuba mengenal pasti identitinya.
Untuk negara-negara yang mewajibkan pembawaan kad pengenalan sepanjang masa, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pelakunya didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.[1] Di Malaysia kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum penjara di bawah Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990. [2] , [3], [4] Menggunakan kad pengenalan orang lain juga merupakan satu kesalahan yang boleh dipenjarakan. [5]
Kad pengenalan di pelbagai negara
[sunting | sunting sumber]Mengikut laporan Privacy International pada 1996, terdapat kira-kira 100 buah negara di dunia yang mewajibkan rakyatnya mempunyai kad pengenalan.
Kad pengenalan wajib
[sunting | sunting sumber]Di sesetengah negara, kad pengenalan cuma diwajibkan setelah sesorang itu mencapai satu umur tertentu.
- Argentina: Documento Nacional de Identidad diberikan semasa kelahiran. Perlu diperbaharui pada umur 8 dan 16 tahun. Berbentuk buku kecil dengan kulit kadbod hijau gelap. Data ditulis tangan. Pemeriksaan rambang tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran hakim.
- Belanda: Pengenalan wajib (dalam bahasa Inggeris). Kad pengenalan tidak wajib, tetapi semua orang yang berumur lebih 14 tahun perlu membawa dokumen pengenalan (kad pengenalan, lesen memandu, pasport) setiap masa.
- Belgium: Daftar kebangsaan (dalam bahasa Belanda, Jerman dan Perancis). Mula diberi pada umur 12 dan wajib pada 15 tahun.
- Brazil: Carteira de Identidade wajib pada umur 18 tahun.
- Chile: Carnet de identidad mula diberi pada umur 2 atau 3 tahun dan wajib pada 18 tahun.
- Estonia: id.ee (dalam bahasa Estonia)
- Hong Kong, China: Jabatan Imigresen (dalam bahasa Inggeris). Wajib pada umur 11 tahun dan diperbaharui pada umur 18 tahun.
- Indonesia: Kartu Tanda Penduduk (KTP)
- Israel: Teudat Zehut mula diberikan pada umur 16 dan wajib pada 18 tahun.
- Itali: Carta d'Identità
- Jerman: Personalausweis. Wajib mempunyai sama ada Personalausweis atau pasport pada umur 16 tetapi tidak perlu membawanya. Pihak berkuasa berhak meminta pengenalan tetapi boleh ditangguhkan ke masa yang sesuai. Kegagalan atau keengganan menunjukkan pengenalan boleh menyebabkan didenda.
- Malaysia: MyKad diberi pada umur 12 dan diperbaharui pada umur 18 tahun.
- Poland: Dowód osobisty wajib pada 18 tahun.
- Portugal: Bilhete de Identidade
- Romania: Carte de identitate wajib pada 14 tahun.
- Sepanyol: Documento Nacional de Identidad (DNI) wajib pada umur 14 tahun. Boleh diberikan lebih awal jika diperlukan.
- Singapura: National Registration Identity Card (NRIC) wajib pada umur 15 dan diperbaharui pada umur 30 tetapi tidak perlu membawanya. Pihak berkuasa berhak meminta pengenalan tetapi boleh ditangguhkan ke masa yang sesuai. Kegagalan atau keengganan menunjukkan pengenalan boleh menyebabkan seseorang itu ditahan. NRIC mungkin diperlukan untuk sesetengah urusan kerajaan atau komersil.
- Croatia, Greece, Luxembourg, Mesir, Portugal dan Thailand juga mempunyai dokumen pengenalan khas.
Kad pengenalan tidak wajib
[sunting | sunting sumber]Australia, Austria, Belanda, Finland, Jepun, Kanada, Perancis, Sweden dan Switzerland mempunyai kad/dokumen pengenalan khas, tetapi tidak diwajibkan.
Lain-lain
[sunting | sunting sumber]- Di Amerika Syarikat, tidak terdapat sebarang dokumen pengenalan piawai disebabkan ia adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan bukan kerajaan persekutuan. Pelbagai dokumen digunakan untuk mengesahkan identiti seperti lesen memandu (de facto), surat beranak, kad Keselamatan Awam (Social Security card) dan pasport.
- Di United Kingdom, atas alasan menyusahkan bakal pengganas, kerajaannya sedang cuba memperkenalkan kad pengenalan tetapi mendapat tentangan ramai. Walau bagaimanapun, UK pernah mempunyai sistem kad pengenalan semasa Perang Dunia I dan II. Seperti Amerika Syarikat, dokumen paling biasa untuk pengenalan diri ialah lesen memandu.
- Denmark, Iceland, Ireland dan Norway juga tidak mempunyai sebarang kad pengenalan rasmi.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Biometrik
- Pasport
- Surat beranak/Sijil kelahiran
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Key features of identity cards". Diarkibkan daripada yang asal pada 2022-06-22. Dicapai pada 2022-06-22.
- ^ "Lelaki didakwa 3 tuduhan dipenjara 10 bulan". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-06-10. Dicapai pada 2007-06-10.
- ^ Star - Di penjara kerana gagal menunjukkan kad pengenalan.
- ^ Di penjara kerana gagal menunjukkan kad pengenalan.
- ^ Perogol budak 15 tahun memiliki pengenalan orang lain.