(Translated by https://www.hiragana.jp/)
Lela - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas Pergi ke kandungan

Lela

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Lila)
Lela abad ke-19 dari Pahang. Spesimen ini memiliki dua lumba-lumba dan sebuah cagak (garpu pusing).

Lela[1]:II atau lila adalah jenis meriam Melayu yang digunakan secara meluas di rantau Nusantara. Ia mirip lantaka namun dibezakan melalui bentuk yang lebih panjang dan lubang peluru yang lebih besar.[2]:122 Lela boleh dikonfigurasi sebagai meriam pusing, meriam tetap, atau dipasang di pedati meriam (gun carriage). Meriam ini dilihat setara dengan rupa senjata falcon dan falconet yang didapati di Eropah.[3]:50

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Nama meriam ini datang dari nama "Laila" (ليلى‎), tokoh perempuan utama kisah roman klasik Melayu berjudul Laila Majnun;[4]:93 nampaknya penerapan kata itu berasal dari nama yang diberikan kepada meriam tertentu, malah kebiasaan menamakan meriam khas tidaklah begitu asing di Eropah pada awal masa pembangunan meriam dan juga di Nusantara hingga sekarang.[5] Nama ini biasanya digabungkan dengan kata "rentaka" pada sastera Melayu, menjadi "lela rentaka".[2]:156, 177, 210-212

Ia juga dipanggil sebagai lilla oleh orang Belanda dan lelo di beberapa bahagian Nusantara.[6]

Keterangan

[sunting | sunting sumber]
Meriam naga atau lela naga dari tahun 1667. Panjangnya 172 cm dengan diameter 22 cm, berbobot 150.6 kg. Ditangkap semasa ekspedisi Belanda ke Jambi, Ogos 1858.

Biasanya lela adalah sekitar 100–180 cm panjang dan diperbuat daripada loyang atau gangsa.[2]:122[3] Mereka menembak peluru meriam bundar berbobot 1.13–1.36 kg dengan jarak melebihi 360 m.[3]:50–51 Selain itu mereka juga boleh dimuatkan dengan peluru sebar (grapeshot atau case shot).[7]:162 Meriam Melayu biasanya melancarkan bola batu yang terbuat dari batu-batuan di tepi sungai,[8]:31 dan lebih jarang lagi melemparkan bola logam dari besi atau loyang.[4]:97 Mereka menggunakan serpihan plumbum dan timah (disebut "dadu-dadu")[9]:209 dalam jarak dekat, dan untuk case shot, diperbuat daripada batu di dalam keranjang rotan.[4]:97 Lela memiliki kaliber lubang diantara 19 hingga 76.2 mm.[4]:95[9]:209 Sesetengah lela besar memiliki dua laras dan kadang kala satu atau lebih meriam kecil miniatur dicor di atas laras mereka untuk digunakan apabila musuh menyerang sebelum meriam bisa diisi semula. Lela rambang atau jala rambang adalah jenis lela, terbuat dari loyang, dengan moncong pemuras (melebar) yang menembakkan serpihan atau batu. Mereka juga dipanggil lela mulut katak.[4]:95[9]

Lela selalu memiliki tiub yang dicor di belakang, di mana pegangan kayu atau pengarah akan dipasang. Pengarah ini digunakan untuk membidik.[4]:93 Lela memiliki tenggekan pusing (disebut cagak, cangkak lela, atau rangking) dengan pasak di bawahnya supaya ia boleh dipasang di pinggir kapal atau tepi kubu.[10][4]:95 Untuk penggunaan darat mereka biasanya ditempatkan di sudut benteng atau perkubuan, sehingga mereka bisa melindungi secara bergantian dua dinding yang berbeza.[4]:95 Selalunya, mereka memiliki lumba-lumba (bahagian pemegang logam di atas untuk mengangkat meriam) tetapi mereka mungkin semata-mata hiasan, kerana mereka boleh diambil tanpa mengangkatnya dengan tali.[4]:93 Berbanding dengan falconet Eropah dengan sejarahnya sejak tahun 1500-an, lela lebih pendek dalam jarak dan lebih ringan dalam berat tetapi unggul dalam hiasan dan reka bentuk.[8]:11

Meriam lela yang lebih besar, di Sanggau, Kalimantan Barat, Indonesia.

Lela juga merujuk pada meriam Melayu bersaiz menengah hingga besar. Menurut Isabella L. Bird, lelah adalah meriam panjang dan berat yang diperbuat daripada loyang, digunakan untuk pertahanan benteng-benteng di mana dibelakangnya orang Melayu bertempur (apilan dan kota mara, atau pertahanan Melayu yang disebut kubu).[11]:32 Mereka bisa menembak sejauh 1000 yard (914 m), dan menembakan peluru 4 paun (1.8 kg).[9]:209[12]

Perahu perang Iranun, dengan lela yang dipasang di hadapan.

Asal-usul senjata berasaskan ubat bedil di Nusantara dapat dikesan dari serangan Mongol ke Jawa pada tahun 1293. Askar Mongol-Cina membawa teknologi ubat bedil ke Jawa dalam bentuk meriam (Bahasa Cina: 炮—"Pào").[13]:1–2[14][15] Ini menghasilkan cetbang gaya Timur yang serupa dengan meriam China. Meriam berpusing bagaimanapun, hanya berkembang di Kepulauan Melayu kerana hubungan maritim Kepulauan Melayu yang erat dengan wilayah India Barat setelah 1460 Masihi, yang membawa senjata jenis mesiu baru ke Kepulauan Melayu, mungkin melalui perantara Arab.[16][17] Senjata ini sepertinya meriam dan bedil tradisi Uthmaniyyah, misalnya prangi, yang merupakan meriam pusing. Jenis cetbang baru, yang disebut cetbang gaya Barat, berasal dari prangi Turki. Sama seperti prangi, cetbang ini adalah meriam pusing pemuatan belakang yang diperbuat daripada gangsa atau besi, menembak peluru tunggal atau tembakan berselerak (sebilangan besar peluru kecil).[18]:94-95

Lela paling awal, seperti lantaka, adalah senjata yang diisi dari belakang.[19] Ini menunjukkan bahawa cetbang adalah pendahulu langsung lantaka. Michael Charney (2004) menunjukkan bahawa meriam pusing Melayu awal diisi dari bahagian belakang.[3]:50 Terdapat kecenderungan peralihan meriam ke jenis pengisian di depan dalam masa penjajahan.[20] Walau bagaimanapun, ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 M, baik meriam pusing yang diisi dari belakang mahupun depan ditemukan dan dirampas oleh Portugis.[3]:50

Sebuah gambar istana kota air terapung (kotta mara) dari Hachelijke reys-togt van Jacob Jansz de Roy.

De Barros berkata selepas kejatuhan Melaka, Albuquerque menangkap 3,000 daripada 8,000 kepingan artileri. Antaranya, 2,000 diperbuat daripada loyang dan selebihnya diperbuat daripada besi, dalam gaya meriam Berço (meriam pusing pengisian belakang) Portugis. Semua artileri memiliki pelengkap pedati yang tidak dapat ditandingi bahkan oleh Portugal.[21][22]:22, 247[23]:127-128 Afonso de Albuquerque membandingkan pengasas senjata api dan meriam Melaka sebagai berada pada tahap yang sama dengan Jerman. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan siapakah etnik pengasas senjata api di Melaka itu.[23]:128[24]:221[25]:4  Duarte Barbosa menyatakan bahawa pembuat arquebus Melaka adalah orang Jawa.[26]:69 Orang Jawa juga membuat meriam mereka sendiri di Melaka.[27] Anthony Reid berhujah bahawa orang Jawa mengendalikan banyak kerja produktif di Melaka sebelum 1511 dan pada abad ke-17 di Pattani.[26]:69

Wan Mohd Dasuki Wan Hasbullah menjelaskan beberapa fakta tentang keadaan senjata serbuk mesiu di Melaka dan negeri-negeri Melayu yang lain sebelum kedatangan Portugis:[28]:97-98

  1. Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa bedil, meriam, dan serbuk mesiu diperbuat di negeri-negeri Melayu.
  2. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa bedil pernah digunakan oleh Kesultanan Melaka sebelum serangan Portugis, walaupun dari sumber Melayu.
  3. Berdasarkan laporan jumlah meriam yang banyak ditemui dan ditangkap oleh Portugis, ia termasuk dalam kategori artileri separa (meriam kecil), jenis inilah yang lebih banyak digunakan oleh orang Melayu.

Meriam yang ditemui di Melaka berasal dari berbagai jenis: esmeril (meriam pusing 1/4 sampai 1/2 paun,[29] mungkin merujuk pada cetbang atau lantaka), falconet (meriam pusing cor gangsa lebih besar dari esmeril, 1 sampai 2 paun[29]), saker bersaiz menengah (meriam panjang atau culverin diantara 6–10 paun),[30] dan bombard (meriam yang pendek, gemuk, dan berat).[3]:46 Orang Melayu juga memiliki 1 buah meriam besar yang cantik, dikirim oleh raja Calicut.[3]:47[22]:22

Perlu diperhatikan bahawa, walaupun memiliki banyak artileri dan senjata api, senjata kesultanan Melaka kebanyakannya dan terutamanya dibeli dari orang Jawa dan Gujarat, di mana orang Jawa dan Gujarat adalah juru senjata tersebut. Pada awal abad ke-16, sebelum kedatangan Portugis, orang Melayu merupakan bangsa yang kekurangan bedil. Sejarah Melayu menyebutkan bahawa pada tahun 1509 mereka tidak memahami "mengapa peluru membunuh", yang menunjukkan mereka tidak biasa menggunakan senjata api dalam pertempuran, jika tidak dalam upacara.[25]:3 Seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu:

Setelah datang ke Melaka, maka bertemu, ditembaknya dengan meriam. Maka segala orang Melaka pun hairan, terkejut mendengar bunyi meriam itu. Katanya, "Bunyi apa ini, seperti guruh ini?". Maka meriam itu pun datanglah mengenai orang Melaka, ada yang putus lehernya, ada yang putus tangannya, ada yang panggal pahanya. Maka bertambahlah hairannya orang Melaka melihat fi'il bedil itu. Katanya: "Apa namanya senjata yang bulat itu maka dengan tajamnya maka ia membunuh?" [31]:254-255

Buku Lendas da India oleh Gaspar Correia dan Asia Portuguesa oleh Manuel de Faria y Sousa mengesahkan cerita Sejarah Melayu. Kedua-duanya mencatat kisah serupa, walaupun tidak sehebat yang digambarkan dalam Sejarah Melayu.[32]:120–121[33]:43 Hikayat Hang Tuah mengisahkan ekspedisi Melaka ke negeri Rum (Empayar Uthmaniyyah) untuk membeli bedil dan meriam-meriam besar selepas pertemuan pertama mereka dengan Portugis pada tahun 1509 Masihi, menunjukkan kekurangan senjata api dan senjata serbuk mesiu.[34]:205–248[catatan 1] Ekspedisi Melaka ke negeri Rum (Turki Uthmaniyah) untuk membeli meriam jelas tidak pernah terjadi, kerana ia hanya disebutkan dalam kesusasteraan fiksyen Hikayat Hang Tuah, yang pada kenyataannya berdasarkan pengiriman rangkaian kedutaan Aceh ke Empayar Uthmaniyah pada abad ke-16.[35]

Detail sebuah lanong. Apilan dan sunting apilan dapat dilihat.

Pada 1600 M., meriam lela menjadi tidak asing lagi di Kepulauan Melayu. Beberapa pengecoran terkenal di wilayah tersebut adalah Terengganu di semenanjung Melayu, Gresik di Jawa, dan tanah Minangkabau di pedalaman Sumatra,[36] di Brunei dan Banjarmasin di Borneo, Sulu di Filipina Selatan, Makassar di Sulawesi, dan Aceh.[5]

Lela juga digunakan dalam rakit berbenteng suku Banjar yang disebut kotta mara. Kotta mara boleh digunakan sebagai baterai terapung atau sebagai kastil air. Kotta mara yang berbentuk persegi panjang boleh dilengkapi dengan 12 lela,[37]:45 manakala kotta mara dengan selekoh pojok boleh dilengkapi 16 lela.[38]:61

Lela dipasang pada apilan (perisai senjata) dari perahu perang dan perahu perompak Melayu. Sunting apilan adalah nama yang diberikan kepada dua lela atau meriam ringan yang berdiri di atas perisai senjata dari sebuah meriam berat.[39]

Leftenan T.J. Newbold mencatat tentang perahu perompak melayu:[40]

Perahu-perahu yang digunakan oleh perompak Melayu adalah seberat lapan hingga sepuluh ton, diawaki dengan baik dan sangat cepat, terutama dengan dayung pendek yang biasa digunakan. Mereka umumnya bersenjata dengan meriam pusing pada hadapan, tengah, dan buritan, berkaliber kecil, tetapi mempunyai jarak jangkau yang jauh. Apabila bersiap untuk menyerang, benteng kuat dari kayu yang disebut 'Apilan' didirikan, di belakangnya para kru berlindung, bertempur dengan meriam-meriam panjang mereka sampai mangsa mereka lumpuh; atau sampai gong membunyikan isyarat agar melakukan boarding (taktik merampas kapal musuh dengan naik ke atasnya).

— Journal of the Asiatic Society of Bengal, Volume 5

Brunei dikenali kerana pandai besinya di abad ke-19. Loyang (aloi tembaga dan zink), senantiasa menjadi logam pilihan kerana ia lebih murah dan lebih mudah dikerjakan, berbanding dengan besi atau aloi keras lain, iaitu gangsa. Walau bagaimanapun, gangsa (aloi tembaga dan timah) jauh lebih kuat dan kerananya lebih popular untuk digunakan dalam pembuatan senjata.[8]:17 Proses pembinaan yang digunakan adalah cire perdue menggunakan cetakan terakota dan lilin.[41]:237[8]:17

Orang-orang Bangsamoro kepulauan Filipina masih menggunakan rentaka dan lela hasil pengaruh teknologi Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo ke Filipina Selatan[19] sehinggakan ada bersenjatakan demikian semasa Perang Filipina-Amerika pada 1899–1902.

Lihat pula

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Maka kata Laksamana, "Adapun hamba sekalian datang ini dititahkan oleh Sultan Melaka membawa surat dan bingkisan tanda berkasih-kasihan antara Sultan Melaka dan duli Sultan Rum, serta hendak membeli bedil dan meriam yang besar-besar. Adalah kekurangan sedikit bedil yang besar-besar di dalam negeri Melaka itu. Adapun hamba lihat tanah di atas angin ini terlalu banyak bedil yang besar-besar.”
  1. ^ "lela". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.CS1 maint: date and year (link)
  2. ^ a b c Ismail, Norain B.T. (2012). Peperangan dalam Historiografi Johor: Kajian Terhadap Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
  3. ^ a b c d e f g Charney, Michael (2004). Southeast Asian Warfare, 1300-1900. BRILL. ISBN 9789047406921.
  4. ^ a b c d e f g h i Gardner, G. B. (1936). Keris and Other Malay Weapons. Singapore: Progressive Publishing Company.
  5. ^ a b Gibson-Hill, C. A. (July 1953). "Notes on the old Cannon found in Malaya, and known to be of Dutch origin". Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. 26: 145–174 – melalui JSTOR.
  6. ^ Romadhoni, Anggi (9 May 2018). "Meriam Lelo di Kampar Meledak Karena Pecah, Seorang Tewas dan 4 lainnya luka". riau.antaranews.com. Dicapai pada 2020-03-23.
  7. ^ Wade, Geoff (2012). Anthony Reid and the Study of the Southeast Asian Past. Institute of Southeast Asian Studies. ISBN 978-981-4311-96-0.
  8. ^ a b c d Teoh, Alex Eng Kean (2005). The Might of the Miniature Cannon A treasure of Borneo and the Malay Archipelago. Asean Heritage.
  9. ^ a b c d Newbold, Thomas John (1839). Political and Statistical Account of the British Settlements in the Straits of Malacca volume 2. Singapore: Oxford University Press.
  10. ^ "Cannons of the Malay Archipelago". www.acant.org.au. Dicapai pada 2020-02-19.
  11. ^ Bird, Isabella Lucy (1883). The Golden Chersonese and the Way Thither. New York: G. P. Putnam's Sons.
  12. ^ Murfett, Malcolm H. (2011). Between 2 Oceans (2nd Edn): A Military History of Singapore from 1275 to 1971. Marshall Cavendish International Asia Pte Ltd.
  13. ^ Schlegel, Gustaaf (1902). "On the Invention and Use of Fire-Arms and Gunpowder in China, Prior to the Arrival of European". T'oung Pao. 3: 1–11.
  14. ^ Lombard, Denys (2005). Nusa Jawa: Silang Budaya, Bagian 2: Jaringan Asia. Jakarta: Gramedia Pustaka Utama. m/s 208.
  15. ^ Reid, Anthony (2011). Asia Tenggara dalam Kurun Niaga 1450-1680 Jilid II: Jaringan Perdagangan Global. Jakarta: Yayasan Pustaka Obor Indonesia. m/s 255.
  16. ^ Reid, Anthony. Understanding Melayu (Malay) as a Source of Diverse Modern Identities. Origins of Malayness, Cambridge University Press, 2001. Dicapai pada March 2, 2009.
  17. ^ Wallace, Alfred Russel (1869). The Malay Archipelago. London: Macmillan and Co. m/s. 2.
  18. ^ Averoes, Muhammad (2020). Antara Cerita dan Sejarah: Meriam Cetbang Majapahit. Jurnal Sejarah, 3(2), 89 - 100.
  19. ^ a b Ooi, Keat Gin (2004). Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor. ABC-CLIO. ISBN 9781576077702.
  20. ^ Hamid, Rahimah A. (2015). Kearifan Tempatan: Pandainya Melayu Dalam Karya Sastera. Penerbit USM. ISBN 9789838619332.
  21. ^ A History of Greek Fire and Gunpowder. Dicapai pada 12 December 2014.
  22. ^ a b Crawfurd, John (1856). A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries. Bradbury and Evans.
  23. ^ a b Birch, Walter de Gray (1875). The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque, Second Viceroy of India, translated from the Portuguese edition of 1774 volume 3. London: The Hakluyt Society.
  24. ^ Reid, Anthony (1993). Southeast Asia in the Age of Commerce 1450-1680. Volume Two: Expansion and Crisis. New Haven and London: Yale University Press.
  25. ^ a b Charney, Michael (2012). Iberians and Southeast Asians at War: the Violent First Encounter at Melaka in 1511 and After. Di Waffen Wissen Wandel: Anpassung und Lernen in transkulturellen Erstkonflikten. Hamburger Edition.
  26. ^ a b Reid, Anthony (1989). The Organization of Production in the Pre-Colonial Southeast Asian Port City. In Broeze, Frank (Ed.), Brides of the Sea: Asian Port Cities in the Colonial Era (pp. 54–74). University of Hawaii Press.
  27. ^ Furnivall, J. S. (2010). Netherlands India: A Study of Plural Economy. Cambridge University Press. m/s 9: "when Portuguese first came to Malacca they noticed a large colony of Javanese merchants under its own headman; the Javanese even founded their own cannon, which then, and for long after, were as necessary to merchant ships as sails."
  28. ^ Hasbullah, Wan Mohd Dasuki Wan (2020). Senjata Api Alam Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  29. ^ a b Manucy, Albert C. (1949). Artillery Through the Ages: A Short Illustrated History of the Cannon, Emphasizing Types Used in America. U.S. Department of the Interior Washington. m/s. 34.
  30. ^ Lettera di Giovanni da Empoli, with introduction and notes by A. Bausani, Rome, 1970, page 138.
  31. ^ Kheng, Cheah Boon (1998). Sejarah Melayu The Malay Annals MS RAFFLES No. 18 Edisi Rumi Baru/New Romanised Edition. Academic Art & Printing Services Sdn. Bhd.
  32. ^ Koek, E. (1886). "Portuguese History of Malacca". Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society. 17: 117–149.
  33. ^ Pintado, M.J. (1993). Portuguese Documents on Malacca: 1509–1511. National Archives of Malaysia. ISBN 9789679120257.
  34. ^ Schap, Bot Genoot, penyunting (2010). Hikayat Hang Tuah II. Jakarta: Pusat Bahasa. ISBN 978-979-069-058-5.
  35. ^ Braginsky, Vladimir (2012-12-08). "Co-opting the Rival Ca(n)non the Turkish Episode of Hikayat Hang Tuah". Malay Literature. 25 (2): 229–260. doi:10.37052/ml.25(2)no5. ISSN 0128-1186.
  36. ^ Ahmad, Rasdan (7 December 2014). "Melayu Sudah Lama Ada Senjata Api" (PDF). Digital Repository of National Library of Malaysia.
  37. ^ van Rees, Willem Adriaan (1867). De Bandjermasinsche Krijg van 1859-1863 nader toegelicht. Arnhem: D.A. Thieme.
  38. ^ de Roy, Jacob Jansz (1706). Hachelijke reys-togt van Jacob Jansz de Roy, na Borneo en Atchin, in sijn vlugt van Batavia, derwaards ondernoomen in het jaar 1691. Te Leyden: Pieter van der Aa.
  39. ^ Wilkinson, Richard James (1901). A Malay-English dictionary. Hongkong: Kelly & Walsh, limited. Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
  40. ^ Newbold, T.J. (1836). "Note on the States of Perak, Srimenanti, and other States in the Malay Peninsula". Journal of the Asiatic Society of Bengal. 5 – melalui Google Books.
  41. ^ Manguin, Pierre-Yves (1976). "L'Artillerie legere nousantarienne: A propos de six canons conserves dans des collections portugaises". Arts Asiatiques. 32: 233–268.