Monumen
Monumen ialah sejenis binaan yang dibuat untuk memperingati seseorang atau sesuatu peristiwa, atau yang telah menjadi sebahagian daripada masyarakat bagi mengingati sejarah atau warisan budaya mereka, kerana kepentingan kesenian, sejarah, politik, teknikal atau seni binanya. Antara monumen awal ialah dolmen (kubur berbilik dari zaman prasejarah) atau menhir, yang dua-duanya binaan megalitik yang dibina untuk tujuan agama atau pengebumian.[1] Contoh-contoh monumen ialah patung, tugu peringatan (perang), bangunan bersejarah, tapak arkeologi dan aset budaya. Sekiranya pemeliharaannya penting bagi khalayak awam, sebuah monumen boleh misalnya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.[2] Ensiklopedia Warisan Budaya dan Konflik Palgrave menakrifkan monumen seperti berikut:
Monumen adalah hasil amalan sosial seperti pembinaan atau pemuliharaan artifak material untuk menzahirkan ideologi mereka. Konsep monumen moden bermula apabila ibu kota dan negara bangsa terbentuk pada abad kelima belas dan kelas pemerintah mula membina dan memulihara binaan-binaan penting. Ia banyak berkembang pada abad ke-19, dengan orang ramai membentuk kepercayaan bahawa pemuliharaannya adalah tugas semua manusia. Abad ke-20 menyaksikan gerakan yang mana monumen-monumen yang dianggap sebagai warisan budaya dalam bentuk peninggalan perlu dipelihara, dan bagi monumen peringatan pula, sesetengah daripadanya kini memfokuskan pada antimonumen abstrak. Kedua-dua jenis monumen sering mengalami konflik kerana ia perlu dipulihara. Ini kerana selepas monumen dibina atau dirasmikan, kerajaan sering harus menangani orang cuba memvandalismekan atau memusnahkannya. Walau bagaimanapun, bukan semua monumen melambangkan kepentingan kerajaan dan kelas pemerintah; mediumnya juga boleh digunakan di luar dunia Barat dan oleh gerakan-gerakan sosial untuk menunjukkan pendapat mereka, serta medium yang dahulunya eksklusif untuk golongan elit Eropah kini digunakan oleh kumpulan sosial baharu atau untuk menghasilkan artifak antimonumental yang mencabar kerajaan dan golongan pemerintah secara langsung. Oleh itu, dalam konflik, bukan monumen yang penting tetapi apa yang berlaku kepada masyarakat yang terlibat dalam pembinaan atau pemusnahannya dan cara mereka saling berinteraksi.[3]
Etimologi
[sunting | sunting sumber]Perkataan "monumen" berasal daripada bahasa Latin "monumentum", daripada perkataan moneo, monere, yang bermaksud 'mengingatkan' atau 'memberi amaran', seakannya membolehkan kita melihat masa lalu dan membayangkan apa yang akan datang pada masa hadapan.[4] Dalam bahasa Inggeris perkataan "monumental" sering digunakan untuk sesuatu yang amat besar atau berkuasa, seperti dalam arca monumental, tetapi juga apa-apa yang dibuat untuk memperingati orang mati, seperti monumen pengebumian atau citra pengebumian yang lain.
Penciptaan dan fungsi
[sunting | sunting sumber]Monumen sudah dihasilkan beribu-ribu tahun, dan ia sering menjadi lambang tamadun-tamadun purba yang paling tahan lama dan terkenal. Pada zaman dahulu, orang daripada budaya yang berbeza membuat makam, dolmen, kuburan, struktur batu, dan kubur besar untuk ahli masyarakat yang kaya dan berkuasa, yang kemudiannya memberikan kita banyak maklumat dan seni tentang budaya tersebut.[5] Apabila masyarakat menjadi semakin teratur dan lebih besar, mereka mula membina monumen yang lebih besar dan sukar dimusnahkan, seperti Piramid Mesir, Parthenon Yunani, Tembok Besar China, Taj Mahal India atau Moai di Pulau Easter , yang telah menjadi simbol tamadun-tamadun mereka. Zaman-zaman kebelakangan ini, struktur-struktur gergasi seperti Patung Liberty dan Menara Eiffel telah menjadi lambang ikonik negara-negara moden. Istilah monumentaliti berkaitan dengan status simbolik dan kewujudan fizikal apa-apa monumen. Dalam konteks ini, ahli sejarah seni Jerman Helmut Scharf menyatakan bahawa, "Sebuah monumen wujud sebagai suatu objek dan juga sebagai simbolnya. Sebagai simbol bahasa, monumen biasanya sesuatu yang konkrit, tetapi jarang juga ia digunakan sebagai metafora. ... Sebuah monumen boleh melambangkan sehimpunan monumen atau hanya satu, tetapi ia juga boleh digunakan dalam berbagai-bagai cara yang berbeza. ... Apa yang dikira sebagai monumen bergantung pada kepentingan yang dikaitkan dengan pengetahuan lazim atau tradisional dalam konteks sejarah dan sosial tertentu."
Jenis
[sunting | sunting sumber]- Tanda aras yang diletakkan oleh agensi kerajaan atau firma kaji selidik swasta.
- Bangunan yang direka sebagai mercu tanda, biasanya dibina dengan ciri yang luar biasa, seperti bangunan yang tertinggi, terbesar atau paling unik, cth, Burj Khalifa di Dubai, struktur tertinggi di dunia atau One World Trade Center, bangunan tertinggi di Amerika Syarikat, dibina untuk memperingati serangan 11 September.
- Tugu (bertujuan untuk membaktikan orang mati yang dikebumikan di tempat lain) dan memorial lain untuk memperingati orang mati, biasanya korban perang, cth, Gerbang India dan Memorial Vimy Ridge, atau korban bencana, seperti Memorial Titanic, Belfast.
- Monumen gereja untuk mendiang orang suci yang beriman, diletakkan di atas atau berhampiran kubur mereka dan biasanya mempamerkan patung rupa mereka, cth, Basilika St. Peter atau gereja zaman pertengahan Sta Maria di Collemaggio di L'Aquila.
- Turus atau tiang, biasanya diletakkan patung di atas, cth, Tiang Kemenangan Berlin, Tiang Nelson di London dan Tiang Traianus di Rom.
- Api abadi yang dipastikan sentiasa menyala, biasanya untuk menghormati askar yang tidak dikenali, contohnya, di Makam Askar Tidak Dikenali di Moscow atau di kubur John F. Kennedy di Tanah Perkuburan Negara Arlington Virginia.
- Air pancut, struktur pencurah yang air biasanya diletakkan di taman atau medan bandar, cth, Air Pancut Victoria, Fontaines de la Concorde dan Taman Versailles.
- Batu nisan, batu yang diletakkan di kubur si mati, cth, makam dan bilik kebal veteran di Les Invalides dan Memorial Genosid Srebrenica.
- Makam yang didedikasikan kepada orang mati, cth, Makam Hang Tuah, Piramid Agung Giza dan Taj Mahal.
- Monolit yang khas untuk tujuan keagamaan atau peringatan, cth, Batu Caves, Stonehenge.
- Monumen masjid, tempat ibadat yang biasanya mempunyai kubah dan menara yang menonjol di latar langit. Ia juga biasanya dihiasi kaligrafi Islam yang halus dan seni geometri, cth, Masjid Besi di Putrajaya, Masjid Nabawi di Madinah.
- Guar untuk memperingati pemimpin atau peristiwa yang hebat, cth, Guar Kościuszko.
- Obelisk, biasanya untuk memperingati pemimpin besar, cth, Jarum Cleopatra di London, Monumen Nasional ("Monas") di Jakarta Tengah, dan Monumen Washington di Washington, DC.
- Istana, kediaman diraja yang direka untuk menarik perhatian orang ramai dengan keindahan dan kehebatannya, cth, Istana Negara Malaysia, Kota Larangan di Beijing dan Istana Versailles.
- Lampu sorot untuk memancarkan cahaya yang terang, cth, Tribute in Light di Memorial & Muzium Nasional 11 September, Bandar Raya New York yang memperingati serangan 11 September 2001.
- Patung individu atau simbol terkenal, contohnya, Patung Buddha Baring di Kelantan, Niederwalddenkmal (Germania) di Hesse, dan Kebebasan Menyinari Dunia (biasanya dikenali sebagai Patung Liberty) di Bandar Raya New York.
- Kuil atau bangunan keagamaan yang dibina untuk penziarahan, upacara atau peringatan, contohnya, Tugu Dewa Muruggan di Gombak, Borobudur di Magelang dan Kaabah di Makkah.
- Vista penamat, penanda hujung atau tengah jalan, supaya pemandangan berakhir dengan binaan atau monumen, cth, Opera Garnier di Paris.
- Gerbang kemenangan, hampir selalunya untuk memperingati kejayaan tentera, cth, Gerbang Constantine di Rom dan Arc de Triomphe de l'Étoile di Paris.
- Memorial perang, cth, Tugu Negara di Malaysia dan Memorial Perang Soviet di Berlin.
Contoh monumen yang terkenal
[sunting | sunting sumber]-
Tugu Negara di Taman Botani Perdana, tugu mengingati lebih 11 ribu askar yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama, Kedua dan Darurat Malaysia.
-
Patung Buddha Baring di Kelantan.
-
Pintu masuk Masjid Besi di Putrajaya, menampilkan seni reka bentuk Islam dan bentuk geometrik.
-
Tugu Dewa Murugan di Batu Caves, Gombak. Ia merupakan patung dewa Hindu tertinggi di Malaysia.
-
Istana Negara Malaysia yang terletak di Jalan Duta.
-
Pemandangan Jakarta dengan Monumen Nasional, Indonesia.
-
Makam Diraja Tanjong Kindana di Brunei. Monumen ini merupakan tempat bersemadinya sultan ke-9 Brunei, Sultan Muhammad Hasan.
-
Singa Laut di Singapura, lambang negara dan rakyat Singapura.
-
Patung Liberty(Kebebasan Mencerahkan Dunia), simbol kebebasanAmerika Syarikat
-
Maqam Echahid, di Algiers, monumen konkrit untuk memperingati Perang Kemerdekaan Algeria
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Caves, R. W. (2004). Encyclopedia of the City. Routledge. m/s. 470. ISBN 978-0415252256.
- ^ "Preserving Cultural Heritages". wmf.org. World Monument Fund. Dicapai pada 2013-10-23.
- ^ Palacios González, Daniel (2020), Saloul, Ihab; Baillie, Britt (penyunting), "Monument", The Palgrave Encyclopedia of Cultural Heritage and Conflict (dalam bahasa Inggeris), Cham: Springer International Publishing: 1–13, doi:10.1007/978-3-030-61493-5_23-1, ISBN 978-3-030-61493-5, dicapai pada 2024-03-08
- ^ John Young Cole; Henry Hope Reed (1997). The Library of Congress: The Art and Architecture of the Thomas Jefferson Building. Norton. m/s. 16. ISBN 978-0-393-04563-5.
- ^ Patton, Mark (1993) Statements in Stone: Monuments and Society in Neolithic Brittany. Routledge, London, ISBN 0415067294, pp. 1–7